SEJARAH KELANTAN TUA
Sejarah Kelantan Tua amat membingungkan para pengkaji. Namanya sering bertukar. Pada abad pertama Masihi, Kelantan Tua dikenali sebagai Medan Gana, Nusa Medan atau Medan. Menghampiri abad ke-2, kawasan-kawasan dari Segenting Kera hingga Semenanjung diberi nama umum sebagai Yawadwipa atau Kawasan Jawa. Pada abad ke-2 Masihi, Negara Medan Gana berubah nama kepada Kunjarakunja bermaksud Cerang Gajah atau Cerang Besar, dikenali sebagai Penghijauan Besar dan dalam riwayat tradisi ia disebut sebagai selembar daun.
Cacatan sejarah China menyebut sebagai Chu-Yu-K’un, Tu- K’kun atau Tu-ya dan menjadi salah sebuah negeri di bawah jajahan Raja Funan (Gunung) iaitu negara di kawasan Teluk Siam iaitu sekarang yang berpusat di Kemboja. Kira-kira pada tahun 369 Masihi, Kusuma Citraraja atau Jayapurusya, Raja Kunjarakunja ketika itu telah bangun memberontak dan membebaskan diri daripada kekuasaan gunung dan memberi nama baru kepada negaranya sebagai Kalathana bermaksud Tanah Raksasa atau di kenali sebagai Tanah Kala dalam riwayat tradisi Kelantan. Ibu kotanya bernama Yawakoti atau Titik Jawa yang terletak di Hilir Kelantan kira-kira 10 kilometer di sebelah barat Bukit Panau yang ketika itu terletak di pesisir pantai. Kota ini dikatakan telah tenggelam ke dalam bumi. Selepas dua tahun nama Kalathana diisytiharkan, rajanya telah menyerang dan meruntuhkan Empayar Gunung dan sebagai ganti Empayar Kalathana telah dibangunkan. Empayar Kalathana tidak lama usianya, ia diruntuhkan oleh kerajaan Champa yang terkenal dalam riwayat tradisi sebagai Empayar Champaka Sari.
Sejak awal abad pertama Masihi telah wujud beberapa negeri kecil di Kelantan. Claudius Ptolemy seorang penulis Mesir berbangsa Yunani pada pertengahan abad ke-2 Masihi mencatatkan nama tempat-tempat seperti Koli Polis, Primula dan Tharra. Mengikut ahli sejarah, kesemua tempat yang disebut oleh Ptolemy itu terletak di kawasan Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Perkara ini telah disebut dalam buku itu sebagai ‘Semenanjung Emas', kawasan ini merupakan kawasan dalam negeri Kelantan sekarang yang dirujuk sebagai Kalathana.
Chi-Lan-Tan adalah nama yang mula-mula digunakan oleh penulis China, iaitu Chau Ju Kua. Apabila beliau mencatatkan bahawa pada tahun 1225 Masihi, negeri ini di bawah taklukan Kerajaan Srivijaya.
Dalam syair Jawa Kuno Nagarakertagama karangan Prapanca, Kelantan pada tahun 1365 Masihi ketika itu berada di bawah naugan Empayar Majapahit berpusat di Jawa Timur. Dalam Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, telah disebutkan pada abad ke -15 Masihi, Kelantan lebih masyhur dari Pattani. Dalam masa yang sama, sejarah China mencatatkan bahawa dalam tahun 1411 Masihi, negeri Kelantan telah diperintah oleh seorang raja bernama Kumar yang beragama Islam. Beliau dipuji oleh Raja China sebagai raja yang baik. Beliau juga pernah mengirim ufti dan persembahan kepada Raja China.
No comments:
Post a Comment