Pada zaman dahulu di Negeri Pahang Darul Makmur sungai-sungai seperti Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Bebar, Sungai Rompin, Sungai Endau, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Semantan dan cawangan-cawangan sungai itu serta beberapa buah sungai kecil yang lain telah digunakan sebagai jalan perhubungan. Begitu juga perhubungan antara Negeri Pahang Darul Makmur dan negeri-negeri lain di sekitarnya. Orang yang hendak pergi ke Kelantan ikut Sungai Tanum anak Sungai Jelai atau ikut Sungai Sat dan Sungai Sepia, kedua-duanya anak Sungai Tembeling. Sungai Sepia itu boleh juga digunakan jika hendak pergi ke Negeri Terengganu. Perhubungan dengan Negeri Perak dihubungi oleh jalan-jalan yang lebih sukar iaitu ikut Sungai Bertam dan Sungai Lipis. Kedua-duanya adalah anak Sungai Jelai. Perhubungan dengan Negeri Selangor pula melalui Sungai Semantan dan cawangannya.